Wednesday, May 6, 2015

SEMBAHYANG TAHIYYATUL MASJID DAN I‘TIKAF

ADAKAH SUNAT SEMBAHYANG TAHIYYATUL MASJID DAN I‘TIKAF DI DALAM SURAU ATAU BALAI IBADAT?
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf merupakan dua ibadat yang mempunyai kaifiyyat (cara) yang berbeza tetapi dilakukan di tempat yang sama iaitu masjid.

Namun yang menjadi kekeliruan di kalangan sebahagian orang, adakah sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf juga sunat dilakukan di dalam balai ibadat atau surau yang di dalamnya juga didirikan sembahyang berjemaah lima waktu penuh, sembahyang Jum‘at serta sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang Tarawih, sembahyang ‘Idil Fitri, sembahyang ‘Idil Adhha dan lain-lain.

Sebelum kita mengetahui mengenai dengan kedudukan hukum melakukan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf di tempat selain yang dinamakan masjid, kita perlu faham terlebih dahulu perkara-perkara yang berkaitan dengan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid, i‘tikaf dan juga pengertian ‘masjid’ itu sendiri.



Beberapa Perkara Mengenai Sembahyang Sunat Tahiyyatul Masjid

Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid menurut syara‘ ialah sembahyang dua rakaat yang didirikan sebelum duduk apabila seseorang masuk ke dalam masjid sebagai menghormati masjid. Sembahyang ini sunat dilakukan berulang kali apabila seseorang itu berulang masuk ke dalam masjid. Sembahyang ini juga sunat dilakukan bagi seseorang yang masuk ke dalam masjid walaupun dia tidak bermaksud untuk duduk di dalamnya.

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan sembahyang dua rakaat (tahiyyat) terlebih dahulu.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ini berakhir atau luput waktunya apabila seseorang itu telah masuk ke dalam masjid dan telah duduk di dalamnya.

Adapun meninggalkan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid ini dihukumkan makruh bagi sesiapa yang tiada halangan untuk melakukannya kecuali jika waktu sembahyang Jum‘at atau sembahyang lainnya sudah dekat untuk didirikan dan dia bimbang akan tertinggal atau terluput takbiratul ihram imam.

Bagi yang meninggalkannya disebabkan oleh perkara yang tidak memungkinkannya untuk melakukan sembahyang ini seperti disebabkan dia berhadats, maka disunatkan untuk mengucapkan zikir ini sebanyak 4 kali:

سُبْحَانَ الله وَالْحَمْدُ لِلَّه، وَلاَ إِلهَ إِلاَّ الله وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Maksud: Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tiada upaya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung.”


Apa Itu I‘tikaf?

I‘tikaf pula ialah duduk berhenti di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu (Islam, mumayyiz, berakal, suci daripada junub, haidh dan nifas) dengan niat.

I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai banyak kelebihan,  antaranya pembersihan hati dan jiwa daripada sifat-sifat yang tercela, menyerahkan diri sepenuhnya beribadah kepada Allah demi memohon darjat yang tinggi, menjauhkan diri daripada kesibukan dunia yang menghalang daripada mendekatkan diri kepadaNya.

I‘tikaf disyariatkan dalam Islam berdasarkan nash al-Qur’an dan as-Sunnah serta ijma‘ ulama.

Antara nash yang menunjukkan tentang tuntutan i‘tikaf itu ialah firman Allah Subhanahu wa Taala:

 ‚WWè UfÛSåèS£Y­HTWT‰STŽ `ySßKV…Wè WÜéSÉYÑHTWÆ Á %YŸY•HTfTT©WÙ<Ö@… ðÐ<ÕYŽ S èSŸSš JðY/@… ð„TWTÊ %†fTTTåéSTŠW£pTÍWTŽ ðÐYÖ.V¡VÒ ñûPXkW‰TSTÿ JðS/@… -YãYHTTWÿ…ƒò X§†PVÞYÕÖ `ySäPVÕWÅVÖ fûéSÍPVWTÿ
(سورة البقرة: 187)

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu campuri isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri‘ktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.”
(Surah Al-Baqarah: 187)

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu  anha, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu alaihi wasallam beri‘tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Baginda melakukan amalan i‘tikaf tersebut sehingga Baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda meneruskan amalan i‘tikaf selepas itu”.
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Orang yang beri‘tikaf di dalam masjid dianjurkan untuk memperbanyakkan sembahyang sunat, berzikir kepada Allah Subhanahu wa Taala, berdoa meminta ampun (istighfar), mengucapkan shalawat kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam atau membaca Al-Qur’an di samping bacaan-bacaan lain yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala.


Pengertian Masjid

Masjid dari segi bahasa ialah nama bagi tempat bersujud. Manakala dari segi syara‘ pula ialah mana-mana tempat di permukaan bumi. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ’Aisyah Radhiallahu ’anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

...... جُعِلَتْ لِى الأَرْضَ مَسْجِدًا...
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Namun begitu, ‘urf (kebiasaan) telah mengkhususkan masjid sebagai tempat untuk mengerjakan sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat, sembahyang Hari-Hari Raya dan lain-lain ibadat seperti beri‘tikaf. Dengan demikian, mushalla atau surau tempat orang berkumpul di dalamnya pada Hari Raya dan yang seumpamanya tidak dihukumkan sebagai masjid. Begitu juga ribath (markas tentera atau tempat tinggal yang dibina untuk orang musafir atau orang miskin) dan sekolah tidak dihukumkan sebagai masjid, kerana ianya disediakan untuk kegunaan lain.

Jika kita melihat kepada fungsi tempat-tempat beribadat yang terdapat di negara kita ini serta struktur reka bentuk yang kadang-kadang sama antara bangunan-bangunan untuk beribadah antara satu dengan yang lain, memang  agak susah untuk dibezakan kecuali dilihat berdasarkan kepada nama tempat itu sendiri sama ada dinamakan masjid, surau, balai ibadat dan yang seumpamanya.


Bila Sesebuah Tempat Itu Dinamakan Masjid?

Para ulama mazhab asy-Syafieyah berpendapat mengenai masjid sebagaimana berikut:

      I.            Imam Az-Zarkasyi Rahimahullah ada menyebutkan:

لَوْ قَالَ: جَعَلْتُ هَذِهِ اْلبُقْعَةَ مَسْجِدًا، فَفِى اْلوَجِيْزِ: اَنَّهَا تَصِيْرُ مَسْجِدًا وَاِنْ لَمْ يَأْتِ بِلَفْظِ اْلوَقْفِ.

Ertinya: “Kalau seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al‑Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.

         II.      As-Syeikh al-Bujairimi Rahimahullah menyebutkan ketika mensyarahkan perkataan al-Khathib as-Syarbini Rahimahullah dalam syarat i‘tikaf di dalam masjid:

قَوْلُهُ: (فِي الْمَسْجِدِ) وَهُوَ مَا وَقَفَهُ الْوَاقِفُ مَسْجِدًا لاَ رِبَاطًا وَلاَ مَدْرَسَةً كَمَا أَفْتَى بِهِ ابْنُ عَبْدِ السَّلاَمِ




Ertinya: “Katanya: (di dalam masjid). Masjid itu ialah sesuatu yang diwaqafkan oleh pewaqafnya sebagai masjid, bukan ribath, bukan sekolah, sebagaimana yang difatwakan oleh Ibnu ‘Abd as-Salam.”

Beliau menambah lagi:

فَائِدَةٌ: أَفْتَى شَيْخُنَا زي بِأَنَّهُ لَوْ سَمَّرَ حَصِيْرًا أَوْ فَرْوَةً أَوْ سَجَّادَةً أَوْ بَنَى مِصْطَبَةً وَوَقَفَهَا مَسْجِدًا صَحَّ ذَلِكَ وَأَجْرَى عَلَيْهَا أَحْكَامَ الْمَسَاجِدِ، فَيَصِحُّ اْلاِعْتِكَافُ عَلَيْهَا وَيَحْرُمُ عَلَى الْجُنُبِ؛ وَنَحْوُهُ الْمُكْثُ عَلَيْهَا وَنَحْو ذَلِكَ اهـ عبد البر.

Ertinya: “Faedah: Guru kami Ali az-Ziyadi telah memfatwakan bahawa sesungguhnya jika seseorang memakukan tikar atau baju bulu unta atau sajadah atau dia membina tempat duduk dan diwaqafkannya sebagai masjid, sahlah (waqafnya) itu, dan diperlakukan atasnya hukum-hukum masjid. Maka sah i‘tikaf di atasnya dan haram ke atas orang junub; dan yang seumpamanya duduk diam di atasnya dan seumpama yang demikian itu. Selesai dinaqal oleh ‘Abd al-Barr.”

     III.      Imam ar-Ramli Rahimahullah pula menyebutkan:

وَخَرَجَ بِالْمَسْجِدِ الرِّبَاطُ وَمُصَلَّى اْلعِيْدِ وَمَا بُنِيَ فِي أَرْضٍ مُسْتَأْجَرَة عَلَى صُوْرَةِ الْمَسْجِدِ وَأَذِنَ بَانِيْهِ فِي الصَّلاَةِ فِيهِ

Ertinya: “Dan keluar dengan perkataan ‘masjid’ (iaitu tidak termasuk) ribath, surau tempat menunaikan sembahyang hari raya dan sesuatu yang dibina di atas tanah yang disewa berbentuk masjid dan orang yang membinanya memberi keizinan untuk sembahyang di dalamnya.”

     IV.      Imam al-Qalyubi Rahimahullah pula menjelaskan bahawa sesuatu yang bersamaan dengan bentuk masjid bukanlah menunjukkan ia sebagai sebuah masjid sebagaimana katanya:

وَشَمِلَ الْمَظْنُوْنَ بِاْلاِجْتِهَادِ لاَ بِالْقَرِيْنَةِ كَمَنَارَةٍ وَمِنْبَرٍ وَتَزْوِيقٍ وَشَرَارِيفٍ، فَلاَ دَلاَلَةِ فِي ذَلِكَ عَلَى الْمَسْجِدِيَّةِ

Ertinya: “Dan adakalanya (termasuk yang dinamakan masjid itu) yang disangkakan berdasarkan ijtihad, bukan berdasarkan qarinah (sesuatu yang menunjukkan bentuk masjid) seperti menara, mimbar, ukiran dan beranda, maka demikian itu tidak menunjukkan sebagai masjid.”

Oleh yang demikian, berdasarkan pandangan ulama di atas jika bangunan itu diwaqafkan untuk dijadikan masjid, jadilah ia masjid dan berlakulah ke atasnya hukum masjid seperti haram bagi orang yang haidh atau junub berhenti diam di dalamnya atau hukum-hukum yang lain yang berkaitan dengan masjid.

Begitu juga, jika tidak disebutkan lafaz waqaf tetapi diniatkan tempat itu untuk dijadikan sebagai masjid seperti seseorang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, mengikut keluasan tempat yang dimaksudkannya untuk dijadikan sebagai masjid. Manakala kawasan yang di luarnya tidaklah dikira sebagai masjid

Jika sesebuah bangunan itu pula hanya diwaqafkan untuk menunaikan sembahyang di dalamnya, bukan sebagai masjid, maka tidaklah bangunan itu menjadi masjid.


Adakah Disunatkan Melakukan Sembahyang Tahiyyatul Masjid Dan I‘tikaf  Di Dalam Bangunan Selain Masjid?

Jika dilihat kepada hukum asal sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf, kedua-duanya hanya sunat dilakukan di dalam sesebuah tempat yang dinamakan masjid. Ini kerana:

1.    Tujuan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dikerjakan adalah sebagai menghormati masjid.

2.    Masjid merupakan salah satu rukun atau syarat sah i‘tikaf.

Oleh itu, tidak disunatkan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan i‘tikaf itu di dalam balai ibadat atau surau. Ini kerana memang jelas nama balai ibadat atau surau itu bukan dimaksudkan sebagai masjid walaupun didirikan di dalamnya sembahyang berjemaah lima waktu, sembahyang Jumaat serta sembahyang sunat yang lain seperti Tarawih, ‘Idil Fitri, ‘Idil Adhha dan lain-lain.


Dalam kontek Negara Brunei Darussalam, untuk mendirikan masjid itu terikat kepada peraturan-peraturan mengenainya sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77) Bab 124.





No comments:

Post a Comment